About Me

12/21/2011

JPJ cadang hantar surat perbaharui cukai

Pelaksanaan masih dikaji supaya keperluan undang-undang

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memperkenalkan kaedah baru pembaharuan cukai jalan dengan menghantar tawaran cukai jalan baru kepada pemilik kenderaan sebelum cukai jalan kenderaan mereka tamat.

Pendekatan itu antara pembaharuan lain dikaji JPJ selepas penetapan tarikh tamat tempoh lesen memandu berdasarkan tarikh lahir yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata menerusi pendekatan itu, JPJ akan menghantar surat tawaran cukai jalan kepada pemilik kenderaan sebelum mereka memberikan maklum balas sama ada menerimanya atau tidak.

Katanya, penghantaran tawaran cukai jalan kepada pemilik kenderaan secara tidak langsung dapat mengingatkan mereka mengenai cukai jalan yang hampir tamat, sekali gus memastikan pemilik tidak membiarkan kenderaan tanpa cukai jalan yang sah. “Selama ini, pemilik kenderaan perlu meminta JPJ memperbaharui cukai jalan, tetapi ada juga terus memandu kenderaan yang tiada cukai jalan sah. “Bagi mengatasi keadaan ini, JPJ bercadang memberi cukai jalan kepada pemilik kenderaan tanpa perlu diminta dan mereka hanya perlu membuat pengesahan sama ada menerimanya atau tidak. “Bagaimanapun, perkara ini masih diteliti kerana pelaksanaannya perlu diselaraskan dengan keperluan perundangan berikutan cukai jalan hanya boleh diperbaharui selepas membeli insurans,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan JPJ di sini, semalam.

Sementara itu, Solah berkata, sebanyak 923,554 kenderaan baru didaftar di seluruh negara dari Januari hingga September lalu, meningkat 46,919 kenderaan atau 5.35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan itu, katanya, menambah jumlah kenderaan di negara ini kepada 21.1 juta setakat September lalu berbanding 20.1 juta pada tahun lalu. “Bagi lesen memandu, sehingga 30 September lalu secara keseluruhannya JPJ melesenkan 12.65 juta pemandu, iaitu peningkatan 414,955 orang berbanding 12.23 juta pemandu pada tahun lalu,” katanya. Solah berkata, peningkatan itu membolehkan JPJ mengutip hasil sebanyak RM2.39 bilion pada suku ketiga tahun ini berbanding RM2.19 bilion pada tempoh sama 2010, peningkatan RM202 juta atau 9.22 peratus. Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.64 bilion adalah hasil pembaharuan cukai jalan, diikuti bayaran lesen memandu (RM289 juta) dan bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan (RM133 juta).

Beliau berkata, JPJ mensasarkan 85 peratus urusan dengan jabatan itu dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2015 berbanding tidak sampai 50 peratus ketika ini. Mulai tahun depan, katanya, semua urusan dengan jabatan itu boleh dibuat secara dalam talian, termasuk urusan tukar hak milik kenderaan yang kini masih di peringkat pelaksanaan. Urusan lain termasuk pembaharuan lesen memandu, cukai jalan, pembayaran saman dan pendaftaran kenderaan, sudah dibuat secara dalam talian sejak 2007, katanya.




Sumber : Berita Harian online bertarikh 21 Disember 2011 (Rabu)

Tiada ulasan: